top of page
  • PUTERI NABILLA BINTI NADBIDI (D20201093931)

KESEDIAAN MURID BELAJAR


1.1 Konsep Kesediaan Belajar


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah ‘kesediaan’ bermaksud kesanggupan atau kerelaan manakala istilah ‘belajar’ bermaksud menuntut ilmu pengetahuan. Menurut Ee Ah Meng (1995) mengklasifikasikan kesediaan belajar merupakan keadaan seseorang individu yang membolehkannya menikmati pembelajaran dengan berkesan. Oleh itu, dapatlah ditakrifkan ‘kesediaan belajar’ sebagai keadaan status diri individu yang sudi menerima maklumat atau ilmu pengetahuan dari persekitaran dengan berfikiran terbuka. Kesediaan belajar merupakan faktor yang sangat penting untuk memastikan setiap isi kandungan pelajaran difahami oleh murid-murid. Menurut Bruner (1966), kesediaan belajar adalah merujuk kepada apa jua perkara yang dapat disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada mana-mana peringkat perkembangan. Pengalaman kanak-kanak pada peringkat awal juga boleh mempengaruhi pembelajaran dan perkembangan mereka seterusnya. Misalnya, kanak-kanak berfikir secara konkrit pada peringkat perkembangan mereka dan pemikiran konkrit ini digunakan sebagai persediaan untuk mempelajari cara pembelajaran abstrak. Oleh yang demikian, persediaan ini dapat membantu pelajar untuk memahami pelajaran yang baru berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada. Terdapat tiga jenis kesediaan belajar yang utama iaitu kesediaan kognitif, kesediaan fizikal (psikomotor), afektif (emosi dan sikap) sebelum menerima pembelajaran bagi menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Manakala Piaget (1966) mengaitkan kesediaan belajar dengan peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak. Kesediaan ini berkaitan dengan peringkat perkembangan intelek seperti berfikir, menaakul, menganalisis, mensintesis dan menilai. Seterusnya, kesediaan belajar merujuk kepada sikap, keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran malahan memberi fokus kepada potensi atau kematangan fizikal dan kesediaan untuk melakukan proses pembelajaran yang baru seperti kesediaan psikomotor, kesediaan afektif, kesediaan kognitif dan jenis kesediaan belajar. Setiap individu menunjukkan emosi berbeza walau dalam situasi yang sama. Perbezaan yang dapat dihayati melalui pergaulan, interaksi dan aktiviti sosial, cara kehidupan yang berbeza di antara satu individu dengan individu yang lain, falsafah hidup dan keagamaan yang berbeza antara individu. Strategi implementasi kesediaan belajar seperti gunakan set induksi yang menarik, rancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kebolehan dan pengetahuan sedia ada, Peringkatkan isi pelajaran mengikut tahap kesediaan murid belajar iaitu mudah ke kompleks dan penggunaan pelbagai stimulus dalam mengekalkan minat murid. Secara logikalnya, kesediaan murid belajar dipengaruhi oleh dua faktor terbesar iaitu dari aspek pengalaman dan kematangan yang merujuk kepada mental, fizikal, emosi dan sosial. Jadi, tidak hairanlah jika wujud permasalahan dalam perbezaan kesediaan murid belajar. Oleh hal yang demikian, kepelbagaian dalam mewujudkan langkah bagi membantu meningkatkan kesediaan murid belajar perlu dipraktikkan oleh setiap guru bagi menghasilkan situasi pembelajaran yang berkesan bersesuaian dengan teknik pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang diperkenalkan.

1.2 Jenis Kesedian Belajar

Pendekatan kognitif menekankan pada proses mental dalaman. Maklumat yang diterima diproses melalui pemilihan, perbandingan dan penyatuan dengan maklumat lain yang sedia ada dalam ingatan. Penyatuan maklumat ini kemudian akan diubah dan disusun semula bergantung kepada hasil pemikiran daripada proses mental dalaman tersebut. Ahli-ahli psikologi kognitif menekankan bahawa manusia bukanlah penerima rangsangan-rangsangan yang pasif. Sebaliknya otak manusia akan memproses secara aktif maklumat yang diterima dan menukarkan maklumat kepada bentuk atau kategori baru. Menurut teori kognitif respons yang dipelopori oleh Anthony G. Greenwald pada tahun 1930an yang memberi fokus kepada kenyataan bahawa penerima sesuatu maklumat bukan sekadar memberi tindak balas terhadap maklumat yang diterima, tetapi juga menggerakkan pemikirannya terhadap maklumat tersebut. Apabila seseorang menerima sesuatu perkara, maklumat yang cuba memberi mesej tentang sesuatu perkara, maklumat tersebut akan dihubungkaitkan dengan pengetahuan sedia-ada, menjadikan pemikirannya bertindak balas secara aktif terhadap maklumat yang diterima. Kesediaan belajar dari aspek kognitif diklasifikasikan sebagai kesediaan mental seseorang untuk memahami, memikir dan menaakul dalam keadaan pembelajaran yang baru. Hal ini kerana, kognitif merupakan satu proses mental mengubah input sensori kepada bentuk yang lebih bermakna dengan merekod, menyimpan dan menggunakan semula maklumat yang sedia ada. Perkara ini jelas dikaitkan apabila seseorang individu menggunakan maklumat yang sedia ada dalam persekitarannya dan mengaplikasikan ingatannya dalam membuat sesuatu keputusan. Tamsilannya, murid-murid mula mengalami peringkat pertumbuhan yang berbeza dari sekolah rendah bersedia untuk belajar operasi konkrit ke peringkat sekolah menengah mula mengalami persediaan untuk belajar operasi yang lebih kompleks. Hal ini bermakna, seseorang pelajar telah bersedia dari segi kognitifnya apabila pencapaian ilmiahnya setimpal dengan usaha dan latihan yang diperlukannya.

Aspek seterusnya adalah merujuk kepada kesediaan murid belajar dari segi afektif. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia, afektif adalah berkenaan dengan perasaan, mempengaruhi keadaan perasaan dan emosi. Semua hal yang berkaitan dengan perasaan dalam penilaiannya menggunakan ranah afektif. Manakala menurut Saniah Abu Bakar (2008) makna afektif merupakan satu bentuk retorik yang mencerminkan perasaan peribadi penutur, termasuk sikapnya terhadap pendengar atau sikapnya mengenai sesuatu yang dikatakannya atau yang dirujukinya. Sehubungan dengan itu, kesediaan afektif pula adalah dari segi keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat seseorang untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran. Hal ini dapat ditunjukkan melalui perlakuan iaitu sikap kesedaran, minat, prihatin dan bertanggungjawab murid tersebut dalam kesungguhannya melaksanakan aktiviti pembelajaran yang diberi oleh guru. Menurut Stanford (1971), pembelajaran yang berkesan adalah dipengaruhi oleh sikap pelajar dan bukan bilangan kali seorang pelajar mengulang kaji bahan pelajarannya. Sebagai contohnya, segelintir murid-murid meminati matapelajaran pendidikan jasmani kerana mereka lebih tertarik untuk bermain permainan serta dapat meluangkan masa di luar kelas sebenarnya dapat menggalakkan mereka untuk menguasai permainan tersebut melalui latihan yang dilakukan. Oleh itu, melalui kesediaan afektif ini, murid-murid dapat meningkatkan pembelajaran, minat, dan juga persaingan yang sihat dalam kalangan mereka sekali gus dapat memotivasikan murid-murid dengan menganggap pembelajaran adalah suatu bidang yang menyeronokkan dan memberikan suatu kepuasan kepada diri mereka. Mengikut hukum Thorndike (1913), apabila seseorang itu bersedia untuk melakukan tindakan, maka tindakan itu dapat memberikan kepuasan kepadanya. Sekiranya dia tidak melakukannya, akan menimbulkan perasaan dukacita dan jika dia terpaksa melakukannya maka pembelajaran yang terhasil menjadi tidak sempurna serta tidak mencapai keberhasilan matlamat yang dirancang. Oleh yang demikian, kesediaan belajar dari aspek afektif perlulah dipersiapkan dengan awal bagi memberi kepentingan kepada seseorang pelajar itu untuk belajar dengan penuh rasa minat kerana di situlah timbulnya azam dan keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, psikomotor ialah istilah psikologi iaitu merujuk kepada pergerakan tubuh yang berkaitan dengan aktiviti mental. Menurut Simpson (1972), bidang psikomotor adalah melibatkan pergerakan fizikal, penyelarasan dan penggunaan bidang kemahiran motor. Secara keseluruhannya, kesediaan psikomotor yang merujuk kepada seseorang yang mempunyai potensi atau kematangan fizikal dan bersedia untuk melakukan sesuatu tindakan fizikal dalam sesuatu proses pembelajaran yang baru. Kematangan fizikal ini meliputi perkembangan otot, tulang, anggota, pengawalan dan penyelarasan pergerakan di seluruh badan. Aspek psikomotor yang perlu ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran haruslah merangkumi tujuh tahap iaitu pengamatan, persediaan, pergerakan terkawal, mekanisme, pergerakan khusus, penyelesaian, dan keaslian. Pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan aspek psikomotor adalah diselaraskan dan diorientasikan oleh guru itu sendiri. Guru seharusnya menerapkan semua elemen psikomotor dalam kaedah pengajaran yang dijalankan (Simpson,1972). Pembelajaran dan pengajaran yang baik adalah mempunyai kriteria berunsurkan aktiviti atau hands-on. Kemahiran membuat sesuatu (hands-on) adalah antara cabang proses dalam tujuh domain psikomotor. Seseorang itu dikatakan mempunyai kesediaan psikomotor sekiranya tubuh badannya telah mengalami tahap kematangan selaras dengan latihan fizikal yang diperlukan. Namun demikian, harus diambil kira bahawa kesediaan psikomotor ini adalah berbeza dalam kalangan murid-murid walaupun mempunyai umur yang sama. Hal ini adalah kerana, kesediaan psikomotor ini adalah berkait rapat dengan latihan yang memerlukan kemahiran yang betul dan latihan yang berterusan. Kemahiran ini dikenalpasti apabila seseorang pelajar berusaha meningkatkan kualiti pergerakan dalam amali kemahiran dengan melakukan pergerakan tersebut berulang kali. Pencapaian terhadap kemahiran kompetensi ini diperoleh dengan menjalani latihan dan praktikal (Selamat, 2000). Contohnya, murid-murid Tahun 1 di dalam kelas yang sama boleh mendapati abjad yang ditulis adalah berbeza, ada yang tulis dengan kemas dan ada yang tidak kemas hurufnya. Keadaan tersebut wujud kerana sesetengah kanak masih belum mencapai kesediaan psikomotor walaupun dalam umur yang sama. Contoh yang lain ialah seorang murid mampu bermain permainan alat muzik piano dengan baik kerana kesediaan psikomotornya dan kekerapan melakukan latihan pergerakan tersebut. Oleh yang demikian, murid-murid dapat memperbaiki psikomotor mereka dengan latihan yang berterusan sebagai persediaan psikomotor mereka. Selain itu, guru perlu memikirkan dan mempertimbangkan kemampuan, keupayaan, kebolehan dan kesediaan murid-murid mengikut tahap perkembangan mereka. Guru yang mengajar murid-murid pada peringkat awal perlu lebih kreatif dan fleksibel dalam pengajaran mereka. Guru harus peka pada tahap perkembangan dan ciri-ciri peribadi setiap murid-murid dan mengubahsuai teknik pengajaran mengikut keperluan murid tersebut. Oleh itu, persediaan dan pengalaman awal murid-murid memerlukan pembelajaran yang terancang, menarik dan relevan dengan perkembangan semasa serta dapat memenuhi keperluan individu murid-murid. Justeru, kesediaan psikomotor yang tinggi akan membolehkan seseorang murid menjalankan aktiviti latihan dalam proses pembelajaran dengan cekap dan berkesan.

1.2 Faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan belajar

Apa yang dapat diperhatikan dalam sesebuah kelas, kita sering mendapati ada murid yang minat dalam pelajaran dan ada pula yang tiada minat untuk belajar. Jad,i kesediaan murid belajar ini tidak wujud secara semulajadi. Setiap murid yang ingin mengikuti sesuatu proses pembelajaran akan melalui proses dimana perlu bersiap sedia untuk menerima proses pembelajaran dan pengajaran. Kesediaan belajar adalah dipengaruhi oleh kematangan, minat dan sikap serta pengalaman pada seseorang. Oleh itu, kesediaan pembelajaran pelajar adalah disumbangkan oleh faktor utama seperti sejauh mana matangnya seseorang pelajar itu dan juga berapa banyak pengalaman yang ada dalam diri seseorang pelajar itu sehingga dapat membantu pelajar terbabit bersedia untuk proses pembelajaran dan pengajaran.

Kematangan ialah salah satu daripada faktor kesediaan pembelajaran. Kematangan adalah hasil proses pertumbuhan dan perkembangan individu yang berlangsung bertahap hingga memunculkan keperibadian dalam diri individu itu sendiri (Herman, 1969). Sedangkan menurut Werner (dalam Nasution, 1969): ”Kematangan adalah terlaksananya dengan baik tugas-tugas pertumbuhan dan perkembangan seseorang menuju struktur tingkah laku yang lebih tinggi”. Kematangan boleh dibahagikan kepada kematangan fizikal, kematangan intelek, kematangan sosial dan kematangan emosi. Kesemua sifat ini memang sedia ada di dalam diri setiap pelajar dan merupakan faktor-faktor asas yang mempengaruhi proses pembelajarannya. Sekiranya sesuatu konsep yang hendak disampaikan pada waktu dan kematangan mental murid-murid yang sesuai, maka pembelajaran adalah lebih mudah, cepat dan bermakna. Setiap manusia yang normal akan menjalani corak pertumbuhan dan perkembangan fizikal dalam lima peringkat iaitu bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Pada peringkat bayi, perkembangan fizikal adalah cepat dan ianya sama dengan peringkat remaja. Perubahan otot, ketinggian dan saiz murid akan menjalani perubahan untuk menunjukkan kematangan fizikal murid. Pada peringkat dewasa pula, kematangan begitu bermakna kerana seseorang itu boleh melakukan apa sahaja kebolehan dan kekuatan yang telah diperolehinya pada peringkat perkembangan yang lebih awal. Namun begitu, apabila mencapai peringkat tua, kekuatan tenaga mula beransur-ansur hilang. Natijahnya, pada usia ini seseorang itu akan mudah cepat letih, kurang tenaga dan kesihatan akan sentiasa terganggu. Kematangan fizikal akan berakhir dengan sempurna apabila mencapai umur 18 tahun dan pada ketika itu individu masih boleh tetap membesar dengan pertambahan berat badan. Hubungan antara kematangan fizikal dalam menentukan kesediaan belajar untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran adalah sangat penting bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran guru. Contohnya, murid tahun 1 tidak boleh memegang raket tenis dengan betul kerana otot-otot mereka belum berkembang dan tidak mampu memegang raket yang berat malah masa yang diperlukan untuk mengajarnya adalah jauh lebih lama. Hal ini kerana murid-murid ini masih belum mencapai lagi tahap kematangan yang diperlukan untuk memahami kesemua konsep tersebut.

Seterusnya, kematangan intelek juga merupakan faktor yang mempengaruhi murid terhadap kesediaan belajar . Konsep 'intelek' mempunyai makna yang berbeza-beza. Dari segi falsafah moral, perkataan ini digunakan untuk menyamakan apa yang dikatakan 'kebaikan' dengan ilmu pengetahuan dan apa yang dikatakan 'kejahatan' dengan 'kejahilan'. Dalam bidang estetika, fahaman intelek mementingkan idea dan citarasa yang dinyatakan pada benda-benda atau karya-karya seni. Manakala dalam teori ilmu pengetahuan, intelek disamakan dengan rasionalisme, dan di sini intelek menitikberatkan akal fikiran daripada emosi dan gerak hati. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), istilah intelektual merujuk kepada ‘kemampuan tinggi untuk berfikir'. Dalam bahasa Arab, istilah ini mempunyai persamaan dengan perkataan thaqafah yang bermakna 'cepat belajar'. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, perkataan thaqafah digunakan untuk membawa maksud cerdik, pandai atau pintar. Seorang sarjana Islam, Bennabi (2005) berpendapat bahawa thaqafah mempunyai persamaan dengan perkataan mahir (hadhaqa) dan cerdik (fatana). Apabila dikaitkan dengan ilmu pengetahuan, maka istilah ini memberi makna 'orang yang cepat menerima dan memahami ilmu pengetahuan. Kematangan intelek merupakan perkembangan yang berlaku pada otak apabila umur seseorang telah meningkat. Oleh itu, kesediaan untuk murid menerima pelajaran yang lebih abstrak boleh diterima kerana otak telah bersedia untuk menerimanya. Namun begitu, guru harus mempertimbangkan tahap perkembangan intelek murid-murid adalah tidak sama dan guru perlu bijak menyediakan strategi pengajaran dan bahan-bahan pembelajaran yang lebih sukar atau mengaturkan aktiviti-aktiviti pengayaan yang sukar kerana murid-murid bersedia menerima tahap pembelajaran yang lebih sukar. Sebagai contohnya, dalam subjek Matematik guru memberikan aktiviti pengayaan topik pecahan aras tinggi pada murid tahun 6A kerana otak mereka telah bersedia menjawab soalan yang sukar berdasarkan tahap kemampuan dan keupayaan pemikiran mereka.

Tambahan lagi, kematangan emosi ialah darjah pencapaian kestabilan dalam perasaan yang berkaitan dengan minat, keinginan dan kepuasan dan gangguan dalaman terhadap pelajaran. Sehubungan itu, sesuatu rangsangan yang selaras dengan minat dan keinginan dapat membangkitkan emosi positif yang mendorong seseorang murid itu belajar. Misalnya, murid-murid mendapat ransangan emosi ababila guru menggunakan kaedah nyanyian melodi ria dalam menghafal huruf ABC dalam kalangan murid prasekolah. Walaupun begitu, guru harus sedar bahawa emosi setiap pelajar adalah berbeza dan guru perlu bijak merancang pembelajarannya selaras dengan kesediaan belajar dan keperluan murid-murid manakala kematangan sosial pula merujuk kepada kematangan murid-murid untuk berinteraksi antara satu sama lain dan guru memainkan peranan penting untuk memangkinkan mereka dalam pelajaran. Dalam sebuah bilik darjah sikap dan tingkahlaku murid-murid adalah berbeza. Oleh itu, bagi menghasilkan kesediaan pembelajaran, guru haruslah membantu memperkembangkan kematangan sosial murid-murid secara positif untuk menggalakkan pembelajaran harmoni. Umpamanya, melaksanakan dalam aktiviti berkumpulan dengan menggabungkan murid yang pendiam dengan murid yang riang dan murid yang lemah digabungkan dengan murid yang pandai. Oleh yang demikian, mereka dapat saling berinteraksi, membuat tugasan dan keputusan secara koperatif dan kolaboratif sekali gus dapat mewujudkan, membantu dan meningkatkan kesediaan belajar kerana wujudnya interaksi yang dapat mematangkan hubungan sosial mereka antara satu sama lain.

Menurut Kamarudin Hj. Husin, 1997, pengalaman yang sedia ada dalam diri seseorang pelajar turut menjadi faktor utama mempengaruhi kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran yang disampaikan oleh guru. Sesetengah guru menghadapi kesukaran dalam melaksanakan pengajaran kerana topik yang disampaikan itu berada di luar pengalaman pelajar. Namun begitu, setelah didedahkan, secara tidak langsung pengalaman inilah yang membantu pelajar dengan mudah menguasai isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Sehubungan itu, pengalaman murid-murid juga sangat bergantung kepada latar belakang keluarga, kebudayaaan masyarakat dan alam sekelilingnya. Mengikut kajian Rosen (1958), keluarga yang berasal daripada kelas menengah ialah keluarga yang banyak memberikan sumbangan dalm kesediaan belajar anak-anak mereka. Tamsilnya, mereka telah diasuh, diajar dan diberi peneguhan supaya sentiasa bersedia dalam pembelajaran untuk mendapat kecemerlangan dalam pelajaran. Mengikut prinsip Pavlov kanak-kanak menjadikan peneguhan daripada ibu bapa seperti berbentuk ganjaran untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Dalam proses pembelajaran, kemahiran asas perlu ada bagi murid-murid untuk menyerap mata pelajaran dengan kadar yang cepat. Melalui pengalaman sedia ada pada seseorang individu akan meletakkan dirinya dalam keadaan yang lebih sedia semasa belajar. Justeru itu, kemahiran asas dan pengalaman sedia ada merupakan faktor penting yang mempengaruhi kesediaan belajar seseorang. Bagaimanapun pengalaman sahaja tidak menjamin untuk belajar, perlu ada kaitan dengan pembelajaran (apa yang akan dipelajari). Perlaksanaan aktiviti yang sejajar dengan kemahiran asas pada murid-murid akan menjaminkan lagi kejayaan aktiviti pembelajaran itu.

1.3 Masalah Perbezaan Kesediaan Belajar

Seperti yang sedia maklum, pencapaian akademik murid bergantung kepada tahap kefahaman murid dalam pembelajaran matapelajaran tersebut. Kefahaman murid terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran pula bergantung kepada faktor-faktor tertentu yang secara langsung dipengaruhi oleh tahap kesediaan murid belajar. Masalah kesediaan belajar ini boleh dilihat dari aspek perbezaan sikap dan minat murid. Sikap murid terhadap sesuatu matapelajaran adalah amat penting. Jika murid mempunyai sikap yang negatif dan bersikap acuh tak acuh terhadap mata pelajaran tersebut, maka kepekaan dan fokus kefahaman terhadap pembelajaran tersebut semakin rendah malah secara tidak langsung akan menjejaskan pencapaian murid. Ee (1996) menyatakan sikap merujuk kepada kesediaan mental dan saraf yang disusun melalui pengalaman dan mempengaruhi gerak balas individu terhadap semua objek dan situasi yang berkaitan dengannya. Rahil (1995) pula menyatakan sikap ialah sebahagian daripada personaliti individu yang dipengaruhi oleh tingkah laku yang ada hubungan dengannya. Sikap manusia berbeza mengikut pengalaman dan mempunyai pengaruh penting kepada individu yang bertindak sebagai sebab dan akibat tingkah laku. Beliau juga menyatakan sikap positif terhadap pembelajaran akan meningkatkan pencapaian murid. Kajian Zamrah (1999) juga menunjukkan bahawa sikap yang positif dapat melahirkan insan yang cemerlang dan berwawasan. Menurut Azrul (1988), salah satu kejayaan murid dalam bidang pembelajarannya ialah pembentukan sikap belajar, di mana sikap tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tanggungjawab untuk belajar memahami dan menyelesaikan tugasan yang diberikan guru. Seseorang murid yang bertanggungjawab terhadap pelajarannya akan sentiasa menyiapkan kerja atau tugasan yang diberi oleh guru, sentiasa hadir ke kelas, bersemangat untuk belajar dan sentiasa berusaha dalam pelajarannya (Kamaruddin, 1997). Selain itu, Suradi (1987) mendapati bahawa sikap terhadap guru akan mempengaruhi minat dan usaha ke arah kejayaan murid sebaliknya sikap negatif terhadap guru boleh melemahkan minat dan motivasi murid dalam mata pelajaran yang diajar oleh guru tersebut. Pengaruh minat yang tinggi terhadap mata pelajaran tertentu juga mempengaruhi tahap pencapaian murid. Sebagi contohnya, ini dapat dilihat daripada kesungguhan dan usaha yang dilakukan oleh murid semasa mempelajari mata pelajaran Matematik. Murid yang mempunyai minat yang tinggi akan sentiasaberusaha dan rajin meningkatkan diri. Dengan erti kata yang lain, kepuasan mereka akan hanya dapat dicapai apabila mereka mempelajari mata pelajaran Matematik dan memahaminya. Menurut Omardin (1996), minat menrupakan suatu perkara penting sebagai pendorong kepada murid untuk bergiat cergas dalam aktiviti pembelajaran. Namun begitu, permasalahan berlaku terhadap guru untuk memilih isi kandungan, bahan, dan alat bantu mengajar disebabkan oleh kewujudan kepelbagaian dan perbezaan minat dalam kalangan murid.

Masalah kesedian belajar yang seterusnya ialah perbezaan perkembangan mental. Dalam konteks ini, kita mengetahui walaupun murid-murid mengalami peringkat umur yang sama, namun itu tidak memastikan bahawa tahap keupayaan mental mereka juga sama tetapi murid-murid sebenranya mempunyai corak perkembangan kecerdasan yang berbeza. Tamsilannya, segelintir murid mudah lupa akan topik pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam kelas. Hal ini kerana, keupayaan mental seseorang murid berlaku dan wujud secara semula jadi atas faktor-faktor galakan tertentu. Mengikut Teori Kesanan (Trace Theory) yang diutarakan oleh ahli-ahli psikologi gestalt, iaitu selepas aktiviti pembelajaran, imejnya akan tertinggal dalam otak . Sekiranya latihan tidak lagi diadakan dalam sesuatu tempoh masa tertentu, kesan yang tertinggal dalam otak akan beransur kabur, dan dengan peredaran masa semakin lama malah, kesan itu akan hilang dalam ingatan atau dilupakan. Jadi, keadaan ini menjadi kesukaran kepada guru untuk membuat semula pengurusan pembelajaran dan pengajaran serta melayani murid mengikut perbezaan yang wujud. Tambahan lagi, kewujudan perbezaan dalam kadar pertumbuhan fizikal juga merupakan permasalahan dalam memastikan kesediaan murid belajar. Secara logikalnya, setiap individu mempunyai corak petumbuhan unik dan berbeza. Sebagai contohnya, murid-murid dalam kumpulan umur yang sama tidak mempunyai kebolehan yang sama. Oleh hal yang demikian, perkara ini melibatkan pengurusan pembelajaran yang memerlukan penelitian kepada guru dalam merancang pelajaran yang dapat memberi kepuasan kepada murid.


Tambahan lagi, perbezaan keyakinan diri murid menyebabkan berlakunya masalah perbezaan kesediaan murid belajar. Hal ini dikatakan demikian kerana kewujudan kepelbagaian status sosioekonomi yang membina keyakinan diri yang berbeza dalam kalangan murid. Sebagai contohnya, murid-murid yang berlatarbelakangkan keluarga yang miskin kurang menceburkan diri dalam pembelajaran aktif. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh rasa rendah diri terhadap masyarakat sekeliling dengan keadaan latar belakang yang dianggap berstatus rendah. Jadi, keadaan ini menimbulkan kesukaran bagi guru untuk mengenalpasti keupayaan dan kebolehan yang dimiliki murid malahan murid tersebut tidak yakin untuk menonjolkan diri terutama ketika pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, kesediaan murid belajar juga dipengaruhi oleh faktor perbezaan jantina individu. Lelaki dan perempuan mempunyai perkembangan biologi dan fizikal yang berbeza. Pada pertumbuhan peringkat remaja, perempuan berkembang lebih pesat dan peningkatan mencapai tahap kematangan berbanding lelaki. Jadi, perkaitan masalah kesediaan belajar berpunca daripada pengaruh nilai kebudayaan terhadap jantina. Guru harus menyedari perbezaan jantina semasa membuat rancangan pelajaran supaya ia bersesuaian mengikut ketetapan masa dan tempat. Akhir sekali, kewujudan perbezaan dalam diri individu juga menimbulkan masalah kepada tahap kesediaan murid belajar. Lazimnya, manusia mempunyai kepelbagaian yang unik dari sudut kebolehan mahupun pencapaian berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki. Sebagai contohnya, bukan semua murid itu mempunyai kebolehan dari segi akademik, ada juga segelintir murid yang cemerlang dalam bidang kokurikulum. Hal ini kerana, perbezaan yang dimiliki masing-masing itu sebenarnya saling melengkapi untuk menghasilkan suatu pencapaian yang berkesan demi pembentukan modal insan yang cemerlang. Oleh hal yang demikian, guru tidak boleh menggolongkan semua murid secara pukul rata sebagai ‘‘cerdik pandai’’ dalam satu bidang pembelajaran. Ironinya, perancangan pembelajaran yang diselaraskan oleh guru perlu mengambil kira masalah perbezaan yang wujud dalam diri murid.

1.4 Langkah-langkah membantu kesediaan belajar pelajar

Kesediaan belajar murid yang berbeza memerlukan kepelbagaian peranan yang berbeza dari pihak guru. Terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh pihak guru untuk memastikan setiap pelajar benar-benar bersedia untuk belajar. Hal ini bertujuan supaya murid-murid mendapat keselesaan dan bertambah seronok untuk belajar di samping mampu meningkatkan prestasi pembelajaran samaada dari aspek kurikulum mahupun kokurikulum. Antara langkahnya adalah guru harus memilih isi kandungan pengajaran yang sesuai bagi kelas yang berlainan. Aktiviti-aktiviti yang diberikan juga harus berbeza bagi setiap keupayaan murid. Jadi, amat penting bagi guru untuk mengenalpasti tahap perkembangan murid-murid. Bagi murid-murid yang cerdik, latihan yang lebih mencabar harus diberi supaya dapat mengukuhkan lagi kemahiran yang dikuasai. Manakala bagi pelajar yang lemah pula, guru haruslah memberi tunjuk ajar yang lebih atau mengajar dengan berulangkali agar pelajar dapat menjalani aktiviti serta matlamat pelajaran yang sama dapat dicapai walaupun menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza.

Seterusnya, inisiatif lain untuk membantu kesediaan belajar ialah guru haruslah kreatif mempelbagaikan kaedah pengajaran misalnya kerja secara berkumpulan, berpasangan dan individu supaya berlaku bimbingan rakan sebaya yang mana murid-murid yang kurang bersedia akan dibantu oleh murid yang bersedia. Selain itu, guru haruslah mengggunakan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan tahap kesediaan murid-murid untuk belajar kerana menurut Reiser dan Gagne (1983) supaya ia merangsang minat murid-murid dalam mata pelajaran tertentu. Contohnya menggunakan bahan bantu mengajar berbentuk audio dan visual interaktif serta variasi strategi pengajaran guru, contohnya penerangan, demonstrasi, sumbang saran dan sebagainya hendaklah bersesuaian dengan tahap kognitif, emosi dan fizikal murid-murid. Lain daripada itu, guru bolrh membuat pemeringkatan isi kandungan pelajaran. Mengikut pembelajaran Gagne, murid mempunyai keperluan pembelajaran prasyarat sebelum pembelajaran yang seterusnya. Justeru, pengajaran kemahiran asas perlu disampaikan terlebih dahulu sebelum pembelajaran kemahiran yang lebih tinggi dan lebih kompleks untuk menangani masalah kesediaan murid-murid yang pelbagai. Contohnya mengukuhkan asas murid-murid tahun satu dengan membaca, mengeja dan membunyikan perkataan sebelum diminta membuat ayat mudah.

38 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page